Pengaruh dan gaya muzik Pitahati

Dikategorikan dibawah genre progresif yang sealiran dengan kumpulan-kumpulan rock Barat sepanjang zaman moden seperti Pink Floyd dan Radiohead. Pitahati yang menggelarkan sendiri jenama muzik mereka sebagai "rock Nusantara avant garde" juga berasaskan pendekatan tiga-gitar, disalutkan dengan elemen-elemen terkini seperti sekuens dan juga sentuhan sintesiser. Karya-karya asli berpaksikan rock mereka ini juga sarat dengan pengisian senikata bahasa Melayu yang tersendiri, tidak terhad pada pengaruh-pengaruh lagenda tanahair dan Indonesia seperti kumpulan Search, Sweet Charity, OAG, Butterfingers serta Slank dan Iwan Fals.

Lirik Pitahati juga dikatakan terilham dari karya-karya penulis sastera Melayu seperti Datuk A. Samad Said dan Pramoedya Ananta Toer; penyajak silam, Hafiz; dan juga penulis senikata lagu rock Melayu tersohor era 1980an dan 1990an iaitu Allahyarham Loloq.